GAC

GAC: BUAH DARI SYURGA

Gac atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis mungkin masih asing lagi bagi kebanyakan penduduk di Malaysia. Bahagian luar buah ini berwarna jingga kemerahan dan mempunyai duri-duri tumpul pada kulitnya. Manakala bahagian dalamnya berwarna merah darah. Inilah buah Gac, buah yang mendapat gelaran Fruit From Heaven dari seluruh dunia.

Buah unik ini boleh ditemui di negara-negara Asia Tenggara khususnya Vietnam, Thailand, Laos, Kemboja, dan Myanmar. Penduduk di Thailand menyebutnya sebagai Fahk Khao sementara penduduk Myanmar menggelarnya sebagai Taw Thabu. Orang barat pula memanggilnya sebagai Spiny Bitter Gourd, Sweet Gourd atau Cochinchin Gourd.

Baru-baru ini, buah Gac telah muncul sebagai sumber antioksidan tertinggi yang pernah diketahui ramai dimana buah ini mengandungi likopen, zeaxanthin dan ?-karoten. Karotenoid dan bioaktif lain yang dikenal pasti dari buah ini termasuklah phenolics, flavonoids dan inhibitor trypsin yang dikaitkan dengan pelbagai bioaktiviti yang bermanfaat seperti aktiviti antioksidan, antikanser dan juga provitamin A.

Kandungan ?-karoten di dalam buah ini jauh lebih tinggi berbanding kandungan ?-karoten semua jenis buah dan sayuran apabila jumlah ?-karoten di dalam buah Gac dikatakan 10 kali ganda lebih banyak dibandingkan dengan lobak merah. Keistimewaan ?-karoten dapat dilihat melalui fungsinya yang akan berubah menjadi Vitamin A di dalam badan dan juga mampu melindungi badan daripada penyakit. Lebih menakjubkan, kandungan likopen di dalam Gac adalah 70 kali ganda lebih banyak berbanding buah tomato.

Di dalam perubatan secara tradisional, buah Gac telah digunakan untuk merawat mata, luka yang terbakar, masalah kulit dan juga luka biasa. Jusnya pula dijadikan sebagai minuman kesihatan yang bagus untuk mata, mencegah kuman, kesuburan, kulit, jantung dan prostat.

Zeaxanthin dalam buah Gac melindungi tisu mata daripada terdedah dengan sinar ultraviolet dan membantu mengurangkan pengoksidaan tisu mata. Selain itu, ?-karoten dalam buah Gac dapat membantu mengekalkan penglihatan malam yang baik dan seterusnya mengurangkan risiko buta.

Tambahan lagi, kebaikan buah Gac ini terutamanya untuk kesihatan prostat dikaitkan dengan kandungan likopen yang tinggi. Likopen sangat berkesan dalam mencegah kanser prostat dan merupakan peranan yang penting dalam rawatan BPH (benign prostatic hyperplasia). Selain itu, buah Gac juga mempunyai ciri-ciri anti-kanser yang khususnya untuk kanser serviks, buah pinggang dan paru-paru.

Satu kajian Jepun yang dilaporkan dalam Jurnal Antarabangsa Onkologi mengatakan bahawa buah Gac mungkin akan menjadi penawar untuk kanser. Kajian makmal mendapati bahawa ekstrak air buah Gac dapat menghalang pertumbuhan sel-sel tumor tertentu. Ini tidak bermakna bahawa buah Gac akan seratus peratus menjadi ubat kanser, tetapi ianya pasti akan membantu mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.

Manakala di Vietnam, satu kajian menunjukkan bahawa buah Gac merupakan sumber ?-karoten yang terbaik. Kajian ini telah melibatkan 185 kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah kekurangan Vitamin A. Pengkaji telah membahagikan kanak-kanak ini kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan yang mendapat buah Gac yang telah diproses di dalam pulut, kumpulan yang menerima sintesis ?-karoten dan seterusnya kumpulan yang menerima pulut tanpa buah Gac yang diproses. Selepas 30 hari, hasil daripada kajian tersebut menunjukkan kepekatan ?-karoten iaitu paras Vitamin A dalam kumpulan yang menerima pulut bersama buah Gac lebih tinggi daripada kumpulan yang menerima daripada sintesis ?-karoten.

Di Malaysia, buah Gac ini masih belum boleh didapati di pasaraya-pasaraya terdekat anda kerana pasarannya yang belum meluas. Namun, anda masih boleh mendapatkannya di Taman Anggur Perlis yang terletak di Sungai Batu Pahat, Perlis untuk merasai pengalaman melihat dan mencuba sendiri keenakkan rasa buah Gac ini. Dengan gelaran Fruit From Heaven, buah Gac ini mungkin akan menjadi penawar untuk seribu satu penyakit pada masa akan datang.